PEMIKIRAN PENGKAJI-PENGKAJI KONTEMPORARI BERKAITAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) DI INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM
Abdullah Fahimy Abu Bakar
Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana pengkaji-pengkaji kontemporari membincangkan isu berkaitan petunjuk prestasi utama (KPI) di institusi pembangunan Islam. KPI yang dimaksudkan di sini ialah satu set pengukuran tahap prestasi yang menumpukan kepada aspek-aspek yang penting dalam menentukan kejayaan sesebuah institusi. Contohnya di Malaysia, pelbagai bentuk KPI yang telah diperkenalkan dan disarankan pemakaiannya termasuk dalam sesebuah institusi pembangunan Islam. Ia antara lain merangkumi Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan maklum balas 360 darjah. Dalam erti kata yang lain, diperhatikan bentuk KPI ini berubah-ubah. Secara tidak langsung, ini bermaksud KPI bagi institusi pembangunan Islam turut sering kali berubah-ubah. Persoalannya kini ialah kenapa perubahan sebegini berlaku? Apakah kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam setiap mekanisme penilaian prestasi? Adakah setiap mekanisme penilaian prestasi ini sesuai diaplikasikan dalam institusi pembangunan Islam? Secara keseluruhannya pula, adakah terdapat perbincangan oleh pengkaji-pengkaji kontemporari berkaitan KPI di institusi pembangunan Islam itu sendiri atau perbincangan berkaitan KPI dari perspektif Islam? Penelitian dalam kertas kerja ini melibatkan perbincangan dalam kajian lepas dan karya terdahulu yang berkaitan. Ia bertujuan bagi mengenal pasti tema-tema yang sering diperbincangkan oleh pengkaji-pengkaji kontemporari sekaligus mengenal pasti lompang pengetahuan yang wujud. Untuk tujuan ini, kaedah analisis teks digunakan. Secara kesimpulannya dengan mengenal pasti tema tersebut, satu kajian lanjutan dalam ruang lingkup sains sosial tentang kesesuaian KPI yang dicadang digunakan di institusi pembangunan Islam di Malaysia dapat dijalankan.
TREND KECENDERUNGAN KAJIAN BERKAITAN KEMISKINAN DI MALAYSIA, 2000 - 2010
Ahmad Anwar bin Rosli
Kertas kerja ini akan cuba mengenal pasti trend kecenderungan kajian-kajian akademik berkaitan kemiskinan di Malaysia. Melalui kertas kerja ini, kajian-kajian lepas berkaitan kemiskinan dalam arena akademik selama sedekad akan dikenal pasti. Seterusnya, kecenderungan umum kajian ini akan dianalisis. Akhirnya, kekerapan kajian selama sedekad yang lalu akan dihitung. Kertas kerja ini hanya menjurus kepada kajian-kajian akademik yang dijalankan serta direkodkan di universiti-universiti tempatan, meliputi peringkat Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah. Kertas kerja ini terhasil melalui kajian kepustakaan daripada laman sesawang perpustakaan universiti-universiti tempatan. Menerusi kertas kerja ini, rumusan mengenai trend kecenderungan kajian berkaitan kemiskinan di Malaysia selama sedekad yang lalu dapat dihasilkan. Satu lagi hasil ialah lompang kajian berkaitan kemiskinan setakat ini dapat dikemukakan.
SIKAP DAN GELAGAT PENGGUNA MUSLIM PERBANKAN SYARIAH DARI PERPEKTIF ISLAM
Ahmad Nizam
Kertas kerja ini tertumpu untuk mengenalpasti tentang sikap dan gelagat pengguna muslim perbankan syariah dari perspektif Islam. Sikap dan gelagat pengguna muslim yang berlandaskan Islam sudah sepatutnya menjadikan perbankan syariah sebagai pilihan utama dalam urusniaga kewangan mereka, tetapi dalam kenyataannya apabila dibandingkan dengan jumlah penduduk Indonesia dan Aceh yang majoriti muslim ternyata perkembangan pasar perbankan syariah relatif rendah dibandingkan dengan perkembangan perbankan konvensional. Masalahnya apakah hal itu karena sikap dan gelagat pengguna muslim tersebut yang masih kurang kefahaman terhadap syariah? ataukah disebabkan karena kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan perbankan syariah kurang menarik? Oleh itu kajian ini dilakukan menggunakan data sekunder, kaedah kajian pustaka dan analisis kandungan. Dapatan kajian dijangka membentuk suatu konsep pembangunan strategi pemasaran perbankan syariah berdasarkan perspektif Islam yang khususnya berhubungan dengan sikap dan gelagat pengguna muslim.
KESEJAHTERAAN KELUARGA HIV/AIDS DARI PERSPEKTIF ISLAM: SATU SOROTAN KARYA
Muhammad ‘Aizat Anwar Apandi
HIV/AIDS merupakan ancaman penyakit merbahaya yang mengancam sistem kekeluargaan di seluruh dunia terutama, di negara-negara umat Islam. Isu ini semakinmendapat perhatian dan tempat dalam kehidupan masyarakat hari ini memandangkan ia menjadi suatu ancaman ke atas kesejahteraan keluarga. Tujuan kertas kerja ini ialah untuk meneliti sejauh mana perkara ini dibincangkan dalam kajian lepas mahupun karya terdahulu. Sorotan melalui teks dibuat bagi mengenal pasti tema yang sering dibincangkan. Dengan mengenal pasti tema, satu kajian lanjutan tentang kesejahteraan keluarga HIV/AIDS dari perspektif Islam dalam ruang lingkup sains sosial dapat dijalankan. Secara kesimpulannya, didapati tiga tema utama yang sering dibicarakan. Tema-tema tersebut ialah berkaitan keluarga HIV/AIDS; kesejahteraan keluarga; dan masalah atau isu berkaitan keluarga HIV/AIDS yang timbul pada masa kini; akan dikupas dari perspektif Islam.
DIVERSITI PEMIKIRAN HISBAT DALAM LITERATUR MODEN: SATU ANALISIS TEORETIS
Azrin binti Ibrahim
Hisbat sekarang tidak banyak dilaksanakan walaupun ia pernah menjadi institusi utama pada zaman awal Islam. Namun begitu, walau pun tidak banyak dilaksanakan, Hisbat banyak diperbincangkan secara teoretis dalam literatur moden masa kini. Kenapakah tidak berlaku keseimbangan antara pelaksanaan dengan penulisan begini? Apakah perbincangan tentang Hisbat dalam literatur tersebut terlalu idealistik sehingga ia sukar diterjemahkan kepada aspek praktis? Apakah penulisan mengenai Hisbat tidak mempunyai garis panduan sehingga ia sukar diterjemahkan kepada pelaksanaan? Atau adakah ia terlalu berdiversifikasi sehingga menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan? Jika benar wujudnya diversiti, setakat manakah pula diversiti tersebut? Apakah ia hanya mencakupi aspek ekonomi atau juga mencakupi aspek-aspek yang lain? Makalah ini secara umumnya berhasrat mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Secara lebih khusus, makalah ini berhasrat menganalisis secara teoretis diversiti pemikiran tentang Hisbat dalam literatur moden. Analisis ini berdasarkan kepada pendekatan kajian perpustakaan. Ia dianalisis menggunakan kaedah analisis teks. Dapatan daripada analisis ini membawa kepada rumusan bahawa diversiti pemikiran tentang Hisbat dalam literatur moden bukan terhad terhadap aspek ekonomi semata-mata, bahkan ia menyentuh hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia. Makalah ini juga merumuskan bahawa Hisbat masih lagi diaplikasikan di sesetengah negara, namun istilah dan pendekatan yang digunakan sahaja berbeza.
BUDAYA ORGANISASI INSTITUSI BANK SYARIAH DI KOTA MEDAN: KAJIAN FAKTOR PELATIHAN DAN SOKONGAN KEPIMPINAN
Azuar Juliandi
Budaya organisasi secara Islam adalah nilai, sikap, keyakinan, perilaku, dan amalan secara Islam yang dianut secara bersama oleh ahli organisasi di dalam institusi Islam. Budaya organisasi Islam bukanlah konsep yang berdiri sendiri, tetapi ia adalah sistem yang dipengaruhi oleh banyak faktor, seperti pelatihan dan sokongan kepimpinan. Budaya organisasi Islam ini juga berpengaruh kepada perilaku pekerja di dalam organisasi terutama kepada prestasi bekerja. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini mencuba untuk mengetahui apakah bentuk pelatihan dan sokongan kepimpinan yang dikenal pasti di Bank-Bank Syariah di kota Medan. Kaedah yang digunakan dalam mencapai matlamat kertas kerja ini adalah kajian lapangan ke atas 3 bank Syariah di Kota Medan, iaitu Bank Muamalat, Bank Syariah Mandiri dan BNI Syariah. Kaedah analisis data menggunakan analisis deskriptif. Hasil penyelidikan ini nanti diharap boleh memperkembangkan dan memperkukuhkan teori budaya organisasi dari perspektif Islam untuk disiplin pembangunan sumber daya manusia Islam dan untuk pengamalannya di dalam pengurusan institusi Islam.
UNDANG-UNDANG ZAKAT DAN PENGURUSAN DANA MASJID DI MANADO, INDONESIA: SATU CADANGAN PENYELIDIKAN
Deicy Natalia Karamoy
Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis Undang-Undang No. 38 Tahun 1999 (UU 38/1999) dalam mengurus dana zakat untuk membiayai pengurusan masjid. Masjid yang dijadikan kes kajian ialah masjid Ahmad Yani Manado. Persoalannya, walaupun ada badan amil zakat yang menguruskan dana masjid tersebut, namun masih berlaku beberapa kes pecah amanah yang tidak sesuai dengan undang-undang UU 38/1999. Analisis kandungan akan dibuat berdasarkan dua sumber data. Pertama ialah data sekunder yang peroleh daripada UU 38/1999 dan laporan-laporan bertulis. Kedua ialah data primer yang diperoleh daripada kajian lapangan. Dapatan kajian adalah diharapkan dapat mencadangkan kepada badan amil zakat masjid Ahmad Yani bagi menambahbaikan lagi pengurusan dana masjid di Menado, Indonesia. Sebaliknya jika berlakunya kes-kes pecah amanah dan penyelewengan dalam menguruskan dana-dana tersebut, maka tindakan yang sesuai dengan undang-undang yang ada di Indonesia dapat diambil.
LOMPANG KAJIAN DAN KARYA MENGENAI WAKAF DI MALAYSIA
Fakhruddin Abd Rahman
Pelbagai topik karya dan kajian tentang wakaf telah dihasilkan mengikut kecenderungan dan disiplin ilmu seseorang pengarang. Karya dan kajian mengenai wakaf boleh dikelompokkan ke dalam beberapa kelompok yang merangkumi pengurusan, undang-undang, pembangunan, fiqh dan teknologi maklumat. Meskipun pelbagai topik karya dan kajian telah dihasilkan, namun terdapat masih banyak skop karya dan kajian yang boleh dihasilkan mengenai wakaf di negara ini terutama dari aspek konsep dan pelaksanaan secara menyeluruh. Sehubungan itu, kertas ini akan menjawab empat persoalan. Pertama, apakah karya-karya dan kajian yang telah dihasilkan berkaitan wakaf di negara ini? Kedua, sejauh mana karya dan kajian yang dihasilkan telah menyumbang dalam institusi wakaf di negara ini? Ketiga, apakah bidang kajian dan karya yang masih belum dihasilkan berkaitan wakaf di negara ini? Keempat, apakah lompang bidang kajian dan karya yang masih belum dihasilkan berbanding karya-karya dan kajian yang sedia ada? Bahan-bahan untuk menjawab keempat-empat persoalan ini diambil dari bahan-bahan sekunder dan dokumen-dokumen yang telah wujud. Kertas kerja ini akan mengemukakan lompang karya dan kajian wakaf mengenai konsep dan pelaksanaan secara menyeluruh dari aspek usaha untuk memaksimumkan perolehan hasil dan mengoptimumkan penggunaan sumber hasil wakaf di negara ini.
PEMBANGUNAN ROHANI BERASASKAN AMALAN ZIKIR BERKAITAN MAKAN DAN MINUM DALAM KITAB AL-ADHKAR
Fairus Ridzuan Abd Jalil
Perjalanan hidup manusia berkisar dalam aktiviti-aktiviti tertentu seperti bekerja, tidur, makan dan minum serta perkara-perkara lain. Walau bagaimanapun, satu kerugian yang besar dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut hanya sekadar mendatangkan manfaat duniawi tanpa sebarang bahagian untuk keperluan di akhirat sekiranya tidak disertakan dengan niat yang betul dan dilakukan berdasarkan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Oleh itu, kertas kerja ini akan memberi fokus dan meneliti zikir-zikir ketika makan dan minum yang dipetik daripada kitab al-Adhkar oleh Imam al-Nawawi supaya dapat diterapkan dalam kehidupan seharian. Persoalannya, bagaimanakah amalan makan dan minum dapat dikaitkan dengan pembangunan rohani melalui zikir-zikir tersebut? Bagi mencapai perkara tersebut, kertas kerja ini menggunakan kajian perpustakaan dan analisis suntingan untuk menganalisis amalan-amalan zikir ketika makan dan minum serta kaitannya dengan pembangunan rohani dan aspek tingkah laku manusia. Perkara ini dibincangkan dengan harapan agar zikir-zikir tersebut dapat diamalkan dalam kehidupan realiti masyarakat masa kini dan membuka ruang supaya amalan-amalan lain juga dapat dilaksanakan menurut tunjang Islam yang sebenar berdasarkan cara daripada Rasulullah S.A.W.
POLA PERBINCANGAN BERKAITAN ALAM SEKITAR: ANALISIS KARYA-KARYA TERPILIH DUA DEKAD
‘Imaaduddin Abdul Halim
Alam sekitar merupakan salah satu tanda kehebatan ciptaan Allah SWT. Ini kerana alam sekitar mempunyai pelbagai sumber yang membolehkan umat manusia manfaatkan untuk kehidupan di muka bumi ini. Perkataan “alam sekitar” atau dalam bahasa Inggeris disebut “environment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekiranya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Namun beGitu, hasil daripada penerokaan dan eksploitasi manusia ke atas alam sekitar, maka berlakulah pelbagai krisis alam sekitar seperti pencemaran air, pencemaran udara, kejadian tanah runtuh dan sebagainya. Krisis-krisis ini telah melahirkan kesedaran yang membawa kepada perbincangan ilmiah berkenaan alam sekitar umpamanya dari aspek sebab-sebab berlakunya krisis ini dan cara-cara untuk mengatasinya. Justeru itu, kertas kerja ini bertujuan mengenalpasti kecenderungan skop perbincangan karya-karya berkaitan alam sekitar. Namun begitu, kertas kerja ini hanya menumpukan perbincangan kepada karya-karya yang terpilih berkaitan alam sekitar dari perspektif Islam. Selain itu, kertas kerja ini juga hanya menumpukan karya-karya yang diterbitkan dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini. Penumpuan kepada karya-karya yang dihasilkan dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini dibuat kerana ia lebih dekat dan bersesuaian dengan krisis-krisis alam sekitar yang berlaku pada masa kini. Akhirnya, kertas kerja ini merumuskan pola perbincangan karya-karya berkaitan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek dan isu.
KAEDAH KEUNTUNGAN KE ATAS PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN
Irfan
Kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan kaedah keuntungan tahunan dalam membuat taksiran zakat perniagaan yang sedang diamalkan di Badan dan Lembaga Amil Zakat di Kota Medan. Pada ketika ini terdapat dua kaedah perakaunan zakat perniagaan yang di amalkan oleh Badan dan Lembaga Amil Zakat di Indonesia. Pertama ialah kaedah modal kerja. Kedua ialah kaedah keuntungan tahunan. Kaedah modal kerja ditaksir dengan cara menjumlahkan aset semasa ditolak dengan liabiliti semasa yang harus dibayar. Sedangkan kaedah keuntungan tahunan ditaksir dari keuntungan yang peroleh iaitu hasil ditolak dengan belanja. Persoalannya ialah, apakah hasil yang boleh diiktiraf, dan belanja yang dibenarkan dalam mengira keuntungan tahunan yang dijadikan dasar dalam membuat taksiran zakat sudah sesuai dengan konsep perakaunan Islam? Kertas kerja ini memfokuskan perbincangan ke atas penilaian terhadap barangan yang akan memberi implikasi dalam mengira keuntungan tahunan mahupun modal kerja.
GELAGAT PENGGUNA MUSLIM TERHADAP TAKAFUL HAYAT
Juniza Mohamad Jamari
Takaful hayat telah berada di Malaysia selama 26 tahun sejak penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) pada tahun 1985. Namun demikian, realiti yang berlaku ialah sambutan terhadap takaful hayat ini masih kurang iaitu 10.3% berbanding insurans sedangkan 60% penduduk Malaysia terdiri daripada penduduk Muslim. Jika dibandingkan penduduk Muslim dengan jumlah sumbangan takaful hayat adalah jauh berbeza jurangnya. Jurang perbezaan ini menunjukkan masih kurangnya sambutan pengguna Muslim terhadap takaful. Persoalannya mengapa ini berlaku? Adakah ini disebabkan gelagat pengguna Muslim yang masih lagi mementingkan faktor- faktor luaran berbanding faktor- faktor dalaman atau kebanyakan mereka tiada kefahaman mengenai takaful? Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor- faktor yang mempengaruhi gelagat pengguna terhadap takaful hayat. Justeru, kajian ini dijangka dapat membentuk satu analisis faktor- faktor yang kemungkinan mempengaruhi gelagat pengguna.
PERANCANGAN PEMBANGUNAN DI INDONESIA: QUO VADIS?
Kasyful Mahalli
Sejak Indonesia merdeka, pembangunan di Indonesia mengalami pasang surut. Pada awal kemerdekaan, perancangan pembangunan di Indonesia mulai di lakukan melalui pembentukan Rencana Pembangunan Lima Tahun (RPLT) 1956-1960. Namun begitu, perancangan pembangunan dan pelaksanaannya, mengalami fluktuasi seiring dengan kondisi politik, ekonomi dan sosial. Hingga Indonesia memasuki orde reformasi sekarang ini pun, perancangan pembangunan di Indonesia berkembang dengan adanya dokumen perancangan yang di kenal dengan nama Rencana Pembangunan Jangka Panjang (RPJP) dan Rencana Pembangunan jangka Menengah (RPJM). Menariknya, dalam Pasal 33 UUD 1945, terdapat perancangan pembangunan yang nampaknya sangat sarat dengan nilai-nilai Islam. Persoalannya, ke arah manakah sebenarnya perancangan pembangunan Indonesia ini berkembang? Makalah ini berhasrat mengenalpasti perkembangan perancangan pembangunan yang di laksanakan di Indonesia ini dan kemudian menganalisis apakah benar ia menuju ke arah pembentukan perancangan pembangunan berteraskan Islam. Untuk ini, asas-asas pembangunan berteraskan Islam akan dijadikan kerangka teoritis agar dengan itu ia dapat dijadikan alat dalam menganalisis perkembangan perancangan pembangunan di Indonesia ini. Dengan berdasarkan kepada maklumat sekunder dan penganalisisan teoritis sepenuhnya, makalah ini akan di akhiri dengan melihat kemungkinan menyusun perancangan pembangunan Indonesia dari asas pembangunan berteraskan Islam.
TAKAFUL HIBRID: KONSEP-KONSEP YANG DIGUNAKAN DALAM PERLAKSANAAN MODEL TAKAFUL HIBRID DI MALAYSIA
KHAIRUL FAIZI HJ MOHD RAFIE
Perlaksanaan konsep hibrid dalam sistem takaful di Malaysia telah dimulakan oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STBM). Pengendali takaful yang pertama di Malaysia ini telah memulakan operasi pada tahun 1985. Sebagai sebuah pengendali takaful yang diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bermula tahun 2008 pengendali takaful ini telah melakukan transformasi secara menyeluruh terhadap semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan apabila memperkenalkan model takaful hibrid. Oleh yang demikian, kertas kerja ini bertujuan mengenal pasti konsep-konsep yang digunakan dalam model takaful hibrid oleh pengendali takaful di Malaysia khususnya dan pengendali-pengendali takaful di seluruh dunia amnya. Selain itu, perbincangan berkaitan model takaful hibrid yang telah dilaksanakan akan dianalisis berdasarkan maklumat dan dapatan temubual pakar. Berdasarkan kepada konsep-konsep yang terlibat dalam model takaful hibrid di STMB khususnya telah menimbulkan beberapa persoalan penting seperti pertama, perbahasan ulama terhadap konsep-konsep yang terlibat? Kedua, apakah konsep yang digunakan ini memberi kelebihan kepada pengguna? Ketiga, adakah konsep hibrid yang diaplikasikan di STMB ini digunakan juga oleh pengendali-pengendali takaful lain di dunia? Oleh itu, kaedah yang digunakan dalam kajian ialah temuduga secara mendalam terhadap responden pakar dan juga maklumat daripada sumber sekunder. Kajian ini menggunakan analisis deskriptif dan kandungan. Jangkaan daripada hasil kajian ini menunjukkan secara terperinci konsep-konsep yang digunakan oleh pengendali-pengendali takaful yang mengaplikasikan model hibrid dalam operasi perniagaannya.
PERMASALAHAN DALAM PENGURUSAN INSANIAH MASA KINI
Lenny Luat
Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji secara terperinci permasalahan-permasalahan yang timbul dalam pengurusan insaniah berteraskan Islam pada masa kini. Pengurusan insaniah adalah salah satu komponen yang penting di dalam sesebuah organisasi kerana ia menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Kejayaan dan keruntuhan organisasi masa kini sering kali dikaitkan dengan permasalahan berkaitan dengan pengurusan insaniah seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan banyak lagi. Persoalannya, mengapakah permasalahan ini timbul sedangkan Malaysia sangat menitikberatkan pengurusan insaniah? Di peringkat organisasi pula, apakah pengurusan insaniah tidak diutamakan? Untuk meneliti dengan lebih terperinci lagi, kertas kerja ini akan menganalisis isu itu menggunakan kaedah kualitatif dan kaedah analisis kandungan. Dapatan yang dijangkakan akan menemukan permasalahan-permasalahan yang timbul dalam pengurusan insaniah berteraskan Islam masa kini.
MASJID SEBAGAI INSTITUSI PENGURUS ZAKAT: KES DI KOTA MALANG, JAWA TIMUR, INDONESIA
Marlina Ekawaty
Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis pengurusan zakat yang diamalkan oleh pihak masjid di Kota Malang. Pembayaran zakat melalui masjid di sekitar tempat tinggal relatif jauh lebih besar berbanding melalui institusi zakat formal sama ada BAZ mahupun LAZ, walhal pengurusan zakat oleh institusi formal tersebut didakwa telah dilakukan secara profesional. Kajian oleh PIRAC (2007), IMZ (2010) dan Marlina (2010) menunjukkan hal ini. Persoalannya ialah, mengapakah berlaku sedemikian? Berdasarkan pensampelan bertujuan, analisis dibuat terhadap temu bual dengan pengurus lima masjid di Kota Malang. Dapatan mempamerkan bahawa ada perbezaan taraf pengurusan zakat yang dilakukan kelima masjid tersebut sama ada dalam hal pengutipan mahupun pengagihannya. Implikasinya ialah, dapatan kajian ini dijangka dapat dipakai dalam membuat penambahbaikan dalam pengelolaan zakat di Kota Malang dan seterusnya dapat memperbaiki lagi kedudukan asnaf zakat terutamanya asnaf fakir dan miskin.
THE DETERMINANTS OF ISLAMIC BANKS FINANCIAL STABILITY IN MALASIA: A CONCEPTUAL FRAMEWORK
Mohamad Helmi bin Hidthiir
In dynamic changing of macroeoconomic environment, Islamic banks as their conventional counterpart also exposed by financial risks that affect their financial stability. What are the possible internal determinants and macroeconomic variables of financial risk? What is the impact of macroeconomic condition, internal determinants, and financial risks on Islamic banks financial stability? To what extent do Islamic banks financial stability exposed to the financial risks? The objectives of this paper are to discuss of the issues about the factors affecting financial risks and financial stability in Islamic bank in Malaysia by utilizing a conceptual framework and research design for this paper. This framework and research design fundamentally monitors the problems of financial stability caused by macroeconomic conditions and financial risk while showing the magnitude or direction of these variables to the financial stability. A key for monitoring is the identification or macroeconomic variables and financial risks sources of vulnerabilities in the Islamic banking system
SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN WAKAF BERTERASKAN ISLAM: KEPERLUAN DAN KEDUDUKAN KERANGKA TEORITIS
Mohamad Salleh bin Abdullah
Kertaskerja ini menumpukan perbincangan kepada dua isu utama. Pertama tentang perlunya kepada satu kerangka teoritis sistem penyampaian perkhidmatan wakaf berteraskan Islam (SPPWBI). Kedua ialah tentang kedudukan kerangka teoritis SPPWBI ini. Di dalam bahagian pertama, ia menegaskan bahawa pelbagai teori, model dan pendekatan berkaitan dengan sistem penyampaian perkhidmatan konvensional yang sering digunakan hendaklah dirujuk secara berhati-hati terutama dalam konteks pengkajian tentang Islam. Dengan kepelbagaian latar belakangnya terutama dalam kepercayaan, budaya dan alam sekitar di antara perspektif Islam dan konvensional, pembinaan satu kerangka teoritis berteraskan Islam adalah sangat-sangat diperlukan. Dalam bahagian kedua, ia menunjukkan kurangnya pembinaan kerangka teoritis sistem penyampaian perkhidmatan yang berteraskan kepada tasawur dan epistemologi Islam. Walaupun terdapat usaha untuk menerangkan sistem penyampaian perkhidmatan Islam dari segi teori, namun begitu teras falsafahnya masih bergantung kuat kepada latar belakang dan metodologi konvensional.
PERAKAUNAN ZAKAT USAHAWAN TANI DI KELANTAN: SATU CADANGAN PENYELIDIKAN
Mohd Rizal Abu Bakar
Sektor pertanian di negara ini sedang mengalami transformasi khususnya daripada pertanian tradisional kepada pertanian komersial. Golongan yang terlibat pula dikenali sebagai usahawan tani. Persoalannya, apakah usahawan tani dikenakan zakat pertanian, sedangkan mereka menguruskan pertanian tersebut secara komersial tidak lagi secara tradisional? Secara logiknya, jika diuruskan secara komersial, kaedah perakaunan zakatnya sepatutnya berubah dari zakat pertanian kepada zakat perniagaan. Kertas ini bertujuan untuk menjawab persoalan tersebut. Dengan itu, bahagian pertama kertas ini akan membincangkan isu-isu dalam perakaunan zakat pertanian. Bahagian kedua pula akan membincangkan tulisan-tulisan lepas tentang perakaunan zakat pertanian yang dijalankan secara tradisional. Dijangkakan kaedah perakaunan zakat usahawan tani akan turut berubah dengan berubahnya kaedah pengurusan pertanian daripada pertanian tradisional kepada pertanian komersial.
PULANGAN, RISIKO DAN KEMERUAPAN SEKTOR SEKURITI PATUH SYARIAH (SPS): PENDEKATAN GARCH DAN CAPM BERSYARAT (CAPM-B)
Mohd Saharudin Shakrani
Bagi menunjukkan sistem kewangan Islam adalah satu alternatif yang terbaik, maka prestasi saham syariah perlu dikaji dan membandingkannya dengan saham konvensional. Pulangan yang tinggi akan menarik pelabur membuat pelaburan dalam sekuriti tersebut. Ini kerana pulangan kepada syarikat seterusnya dibahagikan kepada para pemegang saham dalam bentuk keuntungan dan dividen. Walau bagaimanapun, pelabur juga mengetahui bahawa pelaburan yang berisiko tinggi akan menjamin pulangan yang tinggi (high risk high return). Oleh itu, kajian ini adalah satu usaha untuk mendalami pengetahuan tentang prestasi pulangan Sekuriti Patuh Syariah. Salah satu kajian yang perlu dilakukan ialah melihat hubungan di antara pulangan dan beta risiko (pengukur risiko) dan peranan beta risiko dan CAPM dalam menerangkan perbezaan keratan rentas pulangan Sekuriti Patuh Syariah. Kajian ini menumpukan kepada 456 Sekuriti Patuh Syariah yang tersenarai di Papan Utama dengan melihat hubungan bersyarat purata pulangan dan beta bagi sekuriti-sekuriti yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah. Sementara itu kemeruapan pulangan saham ditakrifkan sebagai serakan terhadap purata pulangan saham atau lebih dikenali sebagai varians. Maklumat dan pengetahuan mengenai gelagat kemeruapan pulangan saham begitu penting kepada ahli ekonomi dan para penganalisis kewangan dalam menyelesaikan beberapa masalah ekonomi yang berkaitan. Poterba dan Summers (1986) telah mengaitkan pengaruh keberterusan pulangan terhadap hubungan antara perubahan kemeruapan dengan harga saham manakala Bollerslev et. al. (1992) pula menyatakan bahawa terdapat tiga sifat yang mempengaruhi kemeruapan pulangan saham iaitu sifat keberterusan pulangan, sifat min-varians, dan sifat hubungan tidak simetri. Kajian ini menggunakan model-model keluarga ARCH untuk menganalisis gelagat kemeruapan pulangan saham lulus syariah di Bursa Saham Kuala Lumpur, Malaysia. Penganggar empirikal ini menggunakan data mengenai harga saham lulus syariah untuk setiap kaunter, volume dagangan, Indeks Industri Dow Jones (IIDJ), Indeks Syariah, Indeks Komposit, Kadar Faedah Antara Bank dan Kadar Faedah Antara Bank Islam. Analisis seterusnya adalah membandingkan dapatan untuk melihat hubungan antara risiko, pulangan dan kemeruapan.
PENILAIAN PRESTASI SEKURITI PATUH SYARIAH (SPS) MENGGUNAKAN CAPM BERSYARAT (CAPM-B)
Mohd Saharudin Shakrani
Objektif kajian ini ialah untuk menilai prestasi Sekuriti Patuh Syariah (SPS) dengan mengkaji hubungan bersyarat antara pulangan dan beta sektor SPS dengan menggunakan analisis regresi keratan rentas. Regresi pulangan dan beta tanpa membezakan antara pulangan lebihan pasaran positif dan negatif menghasilkan hubungan tidak bersyarat ‘flat’ antara pulangan dan beta bagi semua sampel kajian. Di samping itu ia bertujuan untuk menguji adakah beta memainkan peranan penting dalam menerangkan perbezaan keratan rentas pulangan sektor SPS. Kajian ini juga akan membuat perbandingan antara hubungan tidak bersyarat dan hubungan bersyarat antara beta dan pulangan sektor SPS berdasarkan pendekatan Hodoshima (2000) iaitu statistik ringkas seperti R2 terlaras dan sisihan piawai persamaan dan Fletcher (1997) iaitu menggunakan magnitud nilai sebenar anggaran kecerunan. Dengan menggunakan CAPM bersyarat (CAPM-B) dan analisis regresi keratan rentas, bukti dalam kajian ini cenderung menyokong hubungan positif yang signifikan ketika minggu pasaran naik dan hubungan negatif yang signifikan ketika pasaran jatuh bagi semua sampel kajian. Kajian ini mencadangkan bahawa beta merupakan alat yang berguna dalam menerangkan perbezaan keratan rentas dalam pulangan sektor SPS dan menyokong kesinambungan penggunaan beta sebagai pengukur risiko. Berdasarkan kepada R2 terlaras, sisihan piawai persamaan dan magnitud nilai sebenar anggaran kecerunan, hubungan bersyarat antara pulangan dan beta didapati lebih kuat ketika pasaran jatuh berbanding ketika pasaran naik dan didapati hubungan ini lebih sesuai diukur dengan pendekatan Fletcher (1997) berbanding Hodoshima (2000).
CIRI-CIRI TASAWUR PEMBANGUNAN DARI PERSPEKTIF AL-QUR’AN: SATU ANALISIS
Mohd Shukri Hanapi
Kertas kerja ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis ciri-ciri konsep tasawur pembangunan dalam al-Qur’an. Tasawwur pembangunan di sini merujuk kepada gambaran komprehensif dan hakiki mengenai pembangunan berteraskan Islam (PBI). Ia bertujuan menjelaskan ciri-cirinya secara benar dan menyeluruh sehingga menjadi asas kepada segala aktiviti pembangunan dalam kehidupan manusia. Dalam al-Qur’an, ciri-ciri tasawur pembangunan ini tidak disebut secara langsung, malah ia berada secara terpisah-pisah dalam pelbagai ayat dan surah. Hal ini disebabkan oleh dua faktor. Pertama, tasawur pembangunan itu sendiri yang tidak dinyatakan secara langsung dalam al-Qur’an. Kedua, ayat-ayat al-Qur’an tentangnya didapati berada secara terpisah-pisah. Persoalannya, apakah ayat-ayat al-Qur’an yang membincangkan tentang tasawur pembangunan? Apakah pula ciri-ciri tasawur pembangunan yang terkandung dalam ayat-ayat al-Qur’an itu? Kertas kerja ini cuba menjawab kedua-dua persoalan ini dengan memfokuskan perbincangan kepada dua perkara utama. Pertama, mengenal pasti ayat-ayat tasawur pembangunan dalam al-Qur’an. Kedua, menganalisis dan merumuskan ciri-ciri tasawur pembangunan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang dikenal pasti itu. Maklumat utama kertas kerja ini adalah terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an. Selain itu, dikumpulkan juga maklumat yang ada hubung kait dengan ayat-ayat tersebut, terutama sekali tentang tafsirannya. Semua maklumat ini dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Akhirnya kertas kerja ini dapat merumuskan tujuh ciri tasawur pembangunan dari perspektif al-Qur’an, iaitu berpaksikan tauhid, al-‘ubudiyyah (perhambaan), khalifah fi al-Ard (khalifah di muka bumi), mawarid al-tabi‘i (sumber alam sebagai peralatan), al-syumuliyyah (komprehensif), al-tawazun (keseimbangan) dan untuk mencapai mardat Allah (keredaan Allah).
TRANSISI POLITIK DARI NEGARA ISLAM KEPADA NEGARA BERKEBAJIKAN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS): MATLAMAT DAN IMPLIKASI
Mohd Syakir Bin Mohd Rosdi
Kertas kerja ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis matlamat dan implikasi transisi politik dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan PAS. Transisi politik di sini bermaksud peralihan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Ia bertujuan menjelaskan konsep Negara Islam dan Negara Berkebajikan PAS supaya matlamat dan implikasinya lebih difahami. Di sini timbul tiga persoalan. Pertama, apakah dia Negara Islam dan Negara Berkebajikan PAS itu? Kedua, kenapa PAS bertindak menukarkan matlamat dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan,: adakah kerana hasil dari pengaruh golongan professional, atau kerana ingin medapatkan kuasa ataupun kerana ingin mengukuhkan pakatan antara PAS dengan DAP dan PKR? Ketiga, apakah implikasi dan cabaran yang perlu dihadapi oleh PAS setelah berlaku transisi politik tersebut? Kertas kerja ini cuba menjawab ketiga-tiga persoalan ini dengan memfokuskan kepada dua perkara pokok. Pertama, mengenal pasti konsep Negara Islam dan Negara Berkebajikan PAS. Kedua, menganalisis matlamat dan implikasi terhadap perubahan dari Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Semua data yang didapati adalah hasil dari rujukan perpustakaan. Ia dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Akan dihujahkan bahawa transisi politik PAS tersebut berlaku disebabkan oleh tiga faktor utama. Pertama, untuk mengukuhkan parti PAS agar dapat diterima oleh golongan Islam dan bukan Islam. Kedua, ia merupakan strategi untuk memenangi pilihanraya ke-13. Ketiga, ada hubung kait dengan sejarah PAS yang sudah lama mencanang slogan Negara Berkebajikan.
TAZKIYAH AL-NAFS: PENGALAMAN EMPIRIKAL KOPERASI PONDOK PESANTREN (KOPONTREN) DAARUT TAUHIID, BANDUNG, INDONESIA
Muhammad Tahir
Kertas kerja ini bertujuan untuk menerangkan bahawa tazkiyah al-nafs boleh menjadi asas dalam mewujudkan pembangunan. Pengalaman empirikal Koperasi Pondok Pesantren Daarut Tauhiid (selepas ini akan disebut Kopontren DT sahaja), Banung, Indonsia, telah membuktikan perkara ini. Ia telah mewujudkan pembangunan berasaskan tazkiyah al-nafs yakni satu pendekatan pembangunan bersifat ghaib dan bersangkutan dengan alam metafizik yang berlawanan arus dengan pembangunan konvensional berasaskan kekuatan akal. Walau bagaimanapun, Kopontren DT telah mewujudkan pembangunan dengan jayanya walaupun tazkiyah al-nafs tersebut bersifat ghaib dan bersangkutan dengan alam metafizik. Bahkan kejayaan Kopontren DT dapat dianggap sebagai pencapaian luar biasa memandangkan pendapatannya terus mengalami peningkatan daripada masa ke semasa. Oleh itu, kertas kerja ini juga cuba mencadangkan perlunya memasyarakatkan atau membudayakan pelaksanaan tazkiyah al-nafs ini dalam mewujudkan pembangunan terutamanya kepada institusi-institusi yang ingin memperjuangkan Islam.
PERSEPSI PEKERJA BANK SYARI’AH DI KOTA BANDA ACEH TERHADAP AMALAN CSR BANK SYARIAH
Muhammad Yasir Yusuf
Kertas kerja ini bertujuan untuk menilai persepsi pekerja bank syari’ah di kota Banda Aceh terhadap Corporate Social Responsibility (CSR) dalam institusi perbankan syari’ah. Persoalan penting yang dibahas dalam kertas kerja ini adalah bagaimanakah persepsi pekerja bank syari’ah terhadap CSR bank syari’ah?, Apakah kriteria CSR yang dominan yang mempengaruhi persepsi pekerja bank syari’ah?, Apakah CSR menjadi salah satu faktor pemilihan pekerja bank syari’ah untuk bekerja di bank syari’ah?. Adapun kriteria CSR yang dijadikan instrumen menilai pelaksanaan CSR bank syari’ah adalah kepatuhan syari’ah, kesamaan, bertanggungjawab dalam bekerja, adanya jaminan kesejahteraan, jaminan kelestarian alam dan bantuan kebajikan. Survei yang membabitkan 8 bank syari’ah di kota Banda Aceh dengan 50 responden ini menunjukkan hasil bahawa persepsi pekerja bank syariah terhadap CSR bank syari’ah positif, manakala kriteria jaminan kesejahteraan menjadi kriteria dominan yang menyebabkan pekerja bank memilih perbankan syari’ah. Pekerja bank syari’ah menjadikan CSR sebagai salah satu faktor pemilihan bank syari’ah. Pelaksanaan CSR pada bank syari’ah harus diyakini dan difahami merupakan bahagian universal dalam memenuhi komitmen terhadap prinsip-prinsip syari’ah dalam operasional perbankan Islam.
PENGARUH TADBIR URUS KORPORAT TERHADAP NILAI FIRMA: KAJIAN KES SYARIKAT-SYARIKAT TERSENARAI DI JAKARTA ISLAMIC INDEX (JII), BURSA EFEK INDONESIA
Mulia Saputra
Kertas ini bertujuan untuk menganalisis pengaruh tadbir urus korporat terhadap nilai syarikat pada firma syarikat-syarikat tersenarai di Jakarta Islamic Index (JII) Bursa Efek Indonesia 2005-2009. Tadbir urus korporat diukur dengan menggunakan tiga petunjuk iaitu pertama ialah saiz institusi pengarah; kedua ialah saiz ahli keluarga; dan ketiga ialah saiz ahli pengarah bebas. Nilai firma dikira dengan menggunakan Tobins-Q. Kajian ini membabitkan kesemua firma yang tersenarai di Jakarta Islamic Index (JII) iaitu sebanyak 56 firma. Hasil kajian menunjukkan bahawa saiz institusi pengarah dan saiz ahli keluarga mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap nilai firma. Manakala saiz ahli pengarah bebas berpengaruh tidak signifikan terhadap nilai firma. Dengan menggunakan R2, besarnya pengaruh semua pembolehubah tadbir urus korporat dengan nilai firmat ialah 35 peratus. Dengan itu dapatlah dirumuskan bahawa lebih kurang 65 peratus nilai firma masih dipengaruhi oleh pembolehubah lain. Kajian lanjut dicadangkan dengan menambah pembolehubah-pemboleh lain yang dijangka dapat mempengaruhi nilai firma dan kajian perbandingan dengan negara-negara lain.
MICROFINANCE ISSUES FROM MARKETING PERSPECTIVE: THE CASE OF MULTIPLE BORROWING
Murni Yusoff
Despite the fact that microfinance has expanded to several countries including non-Islamic and Islamic countries, yet there are issues and challenges that the industry faced. One of the most prominent issues in microfinance industry is multiple borrowing by the micro borrowers. Whilst most of the studies look at multiple borrowing from the economic and financial perspective, there is hardly to find this issue from marketing perspective. In spite of the recommendations by most of the studies, there is still a growing trend in multiple borrowing. Hence, this study is trying to fill in the research gap by exploring the possibility of using conventional marketing strategy in microfinance institutions is unable to retain their clients and responsible to explain the rising trend of multiple borrowing. The methodology used in this study is content analysis since this is an exploratory research due to it is hardly to find empirical study that can be relied as the sources. As a result of this study, a new marketing strategy has been developed which is based on Islamic values as an alternative to microfinance institutions to retain their clients and to prevent the rising trend of multiple borrowing. It is expected that with the new Islamic marketing strategy, it can be used in tandem with Islamic microfinance in strengthening the Islamic microfinance institutions.
PERBANKAN SYARIAH DI INDONESIA: KENAPA MEMILIHNYA?
Mutiara Dwi Sari
Indonesia adalah sebuah negara dengan populasi muslim terbesar didunia dengan jumlah penduduk muslimnya sekitar 204 juta jiwa. Populasi Muslim yang besar ini merupakan potensi besar bagi perkembangan perbankan syariah. Perbankan syariah ini mula mendapat perhatian kerajaan dengan dikeluarkannya siri undang-undang yang menyokong perbankan syariah. Pada tahun 1992, bank syariah pertama iaitu Bank Muamalat Indonesia rasmi beroperasi. Setelah itu muncul beberapa bank syariah lain, samada berbentuk full pledge system mahupun yang berbentuk dual banking system. Sokongan terhadap perkembangan perbankan syariah ini juga datang daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan organisasi masyarakat Muhammadiyah ditandai dengan keluarnya fatwa pengharaman bunga bank. Sebagai sesuatu yang relatif baru, perbankan syariah telah menunjukkan pertumbuhan yang cukup baik, meskipun syer pasarannya masih terlalu kecil (3%) bila dibandingkan dengan syer pasaran perbankan syariah di negara-negara muslim lainnya. Syer pasaran yang terlalu kecil ini sesungguhnya tidak mencerminkan potensi besar penduduk muslim Indonesia. Tujuan daripada kertas kerja ini untuk mengetahui perkembangan perbankan syariah di Indonesia dan siapakah mereka yang sebenarnya menyokong perbankan syariah serta faktor-faktor yang memotivasi mereka memilih perbankan syariah. Kertas kerja ini merupakan kajian pustaka dengan menggunakan data sekunder sebagai bahan kajian dan dianalisis dengan kaedah analisis kandungan. Daripada kajian ini didapati isu kualiti perkhidmatan, agama,keselamatan, reputasi bank, iklan, ekonomi, dan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan merupakan faktor yang signifikan dalam pemilihan perbankan syariah.
KEPIMPINAN MENURUT ISLAM: PERANAN PERTUBUHAN ISLAM DI MALAYSIA
Norazira binti Ali
Kertas kerja ini merupakan satu kajian yang berbentuk kualitatif bertujuan menjelaskan kepimpinan menurut Islam dan hubungannya dengan pertubuhan Islam di Malaysia. Kelemahan kepimpinan Barat dilihat telah membawa banyak kerosakan kepada kehidupan manusia. Justeru, apakah kepimpinan yang ideal? Dengan mengambil model kepimpinan Rasulullah s.a.w dan para Khulafa ar-Rasyidin, satu kerangka teori kepimpinan menurut Islam dibina serta kepentingannya untuk diaplikasikan. Kajian berorientasikan keperpustakaan yang dilakukan adalah berdasarkan kaedah penyelidikan data-data sekunder dan bahan-bahan berkaitan kepimpinan menurut Islam. Kertas kerja ini turut membincangkan beberapa buah pertubuhan Islam di Malaysia seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM). Hasilnya, didapati bahawa kepimpinan menurut Islam dijadikan model dan diaplikasikan oleh pertubuhan ini. Akhirnya, pertubuhan Islam berperanan sebagai satu medium bagi mengembangkan syiar Islam dan menyedarkan masyarakat agar tidak hanyut dengan arus kemodenan yang dibawa oleh kepimpinan sekular serta memahami Islam sebagai ad-din yang meliputi seluruh cara hidup insan meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial yang perlu dilaksanakan.
TINJAUAN TERHADAP TREND KAJIAN SECARA KUANTITATIF TERHADAP SUKUK
Norhayati Abdullah
Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengalakan perkembangan pasaran sukuk. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penerangan yang telah diberikan kepada masyarakat tentang kewujudan sukuk dalam pasaran kewangan negara. Sehinggakan secara umum, masih ramai yang menganggap sukuk tidak berbeza dari bon konvensional. Sekurang-kurangnya melalui usaha-usaha penyelidikan yang dilakukan dapat menyedarkan masyarakat tentang sumbangan sukuk kepada ekonomi negara. Kajian-kajian yang dilakukan mestilah bersesuaian mengikut sasaran pembaca sama ada secara kuantitatif atau kualitatif. Secara umum, pemerhatian awal menunjukkan kajian terhadap sukuk lebih berbentuk kualitatif berbanding kuantitatif. Oleh itu, kertas kerja ini ingin melihat sejauh mana kebenaran generalisasi ini. Seterusnya kajian ini cuba meneliti trend kecenderungan kajian-kajian berbentuk kuantitatif terhadap pasaran sukuk dari seluruh dunia. Objektif-objektif ini dapat dicapai melalui analisis deskriptif terhadap pelbagai karya yang telah dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Hasilnya, selain dari melihat kecenderungan kajian berbentuk kuantitatif, kajian ini juga dapat mengenal pasti apakah masalah yang mempengaruhi minat terhadap kajian secara kuantitatif itu.
SUKUK IN MALAYSIA: PROGRESS, ISSUES AND PROSPECTS
Nurhafiza Abdul Kader Malim
Sukuk has emerged as one of the main components of the Islamic finance industry and is likely to strengthen and expand considerably as an alternative to interest based long term financing modes. The Sukuk market has continued to attract issuers and expand beyond its historic centers in the Muslim world. Its pace of development has indeed been fast after a temporary plunge in 2008. This paper aims at unfolding the progress of Sukuk in Malaysia over the past decade. It highlights the issues that need to be addressed and challenges that Sukuk financing faces and has to overcome to enable the market realize its full potential. Finally, the paper attempts to evaluate the future prospects of the Sukuk market gaining momentum in the country. The study uses descriptive and analytical techniques using mainly secondary data for the purpose. In this context, the study notes some of the main obstacles roughing the way to progress and makes a few suggestions for the policy implication.
PELAKSANAAN KAEDAH PENGURUSAN TAUHIDIK DI YAYASAN PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM MALAYSIA (YaPEIM): SATU ANALISIS
Nurhidayah Bt. Marzuki@Yahaya
Kertas kerja ini bertujuan menganalisis pelaksanaan Kaedah Pengurusan Tauhidik. Kaedah Pengurusan Tauhidik ini merupakan satu kaedah pengurusan Islam yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Kaedah pengurusan Islam sekalipun dilihat sebagai sesuatu yang baru tetapi ia mempunyai potensi untuk diperkembangkan. Sebahagian kecil daripada institusi pembangunan berteraskan Islam telah mula mengamalkannya. Walau bagaimanapun, sebahagian besar daripada institusi pembangunan berteraskan Islam yang ada di Malaysia masih lagi terikat dengan kaedah pengurusan Barat. Persoalannya, kenapa masih banyak institusi pembangunan berteraskan Islam tidak mengguna pakai kaedah pengurusan Islam? Apakah masalahnya? Adakah kaedah pengurusan Islam ini tidak cukup atau tidak sesuai untuk pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam? Kertas kerja cuba menjawab persoalan-persoalan ini. Ia akan cuba menganalisis pelaksanaan salah satu kaedah pengurusan Islam iaitu Kaedah Pengurusan Tauhidik di salah sebuah institusi pembangunan berteraskan Islam, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Untuk tujuan tersebut analisis statistik deskriptif, analisis tekstual dan analisis kandungan digunakan untuk mencapai objektif kertas kerja ini. Akhirnya kertas kerja ini diharap dapat membentuk satu rumusan bahawa Kaedah Pengurusan Tauhidik ini akan memberi banyak kebaikan dan dapat dijadikan panduan kepada institusi-institusi lain dalam usaha untuk memartabatkan institusi pembangunan berteraskan Islam dari aspek pengurusannya.
TASAWUR DAN EPISTEMOLOGI ALGEBRA DALAM KAEDAH PENYELIDIKAN BERTERASKAN ISLAM
Nur Ilani binti Mat Nawi
Algebra merupakan salah satu daripada sumber ilmu dalam matematik yang boleh digunakan dalam analisis data. Oleh itu, pentingnya algebra untuk bertunjangkan tasawur dan epistemologi Islam. Kertas kerja ini akan membincangkan dua perkara utama. Pertama, tasawur dan epistemologi algebra dalam kaedah penyelidikan berteraskan Islam. Kedua, pengaplikasian algebra sebagai suatu alat analisis data kuantitatif kaedah penyelidikan berteraskan Islam. Metodologi yang digunakan adalah analisis tekstual. Penemuan dapatan dijangkakan algebra merupakan bertunjangkan tasawur dan epistemologi Islam dan boleh dijadikan suatu alat analisis data kuantitatif kaedah penyelidikan berteraskan Islam.
PENGAGIHAN ZAKAT MELALUI KREDIT MIKRO : ANALISIS DARI PERSPEKTIF MASLAHAH
Nurul Ilyana Muhd Adnan
Kertas ini bertujuan menganalisis pengagihan dana zakat kepada penerima zakat dalam bentuk kredit mikro. Persoalannya ialah, apakah zakat boleh diagihkan dalam bentuk kredit mikro kerana zakat adalah pindahan hak milik dana zakat kepada penerima zakat? Apatah lagi ia dibuat secara qardul hasan. Berdasarkan tulisan daripada kitab-kitab klasik, dapatan analisis mempamerkan bahawa asas yang boleh dipakai untuk mekanisme bantuan modal dalam bentuk kredit mikro ialah maslahah. Berdasarkan Maqasid Syariah, pengagihan dana zakat melalui kredit mikro adalah dibenarkan. Ini kerana dari perspektif maslahah, bentuk agihan sebegini merupakan bantuan bermatlamat jangka panjang dengan harapan penerima zakat akan bertukar menjadi pembayar zakat suatu hari nanti.
PARADIGMA WASATIYYAH DAN AGENDA PENYATUAN KAUM DI BAWAH GAGASAN 1MALAYSIA: SATUANALISIS
Nurul Huda Yacob
Kertas kerja ini akan menggunakan paradigma wasatiyyah bagi tujuan pelaksanaan agenda penyatuan kaum yang terkandung dalam Gagasan 1Malaysia (G1M). Secara mudahnya, paradigma adalah satu rancangan susulan yang menerangkan bagaimana dunia harus difahami. Ia berisikan sebuah tasawur sebagai satu cara untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan dunia. Dalam konteks ini, prinsip wasatiyyah Islam akan dijadikan sebagai paradigma utama bagi membentuk penyatuan pelbagai kaum di Malaysia. Persoalannya ialah apakah konsep wasatiyyah itu dari perspektif Islam? Bagaimanakah pula wasatiyyah boleh digunapakai dalam proses penyatuan pelbagai kaum itu di Malaysia? Untuk merungkai masalah ini, kertas kerja ini akan membincangkan dua perkara utama. Pertama ialah mengenal pasti konsep wasatiyyah dari perspektif Islam. Kedua pula ialah menganalisis proses penyatuan kaum berasaskan prinsip wasatiyyah. Maklumat berkaitan konsep wasatiyyah dan penyatuan kaum ini diperoleh melalui kajian perpustakaan, manakala penganalisisannya pula menggunakan analisis kandungan. Akhirnya, kertas kerja ini merumuskan bahawa agenda penyatuan kaum yang terkandung dalam G1M itu dapat diperkasakan melalui pengaplikasian konsep wasatiyyah.
KEMISKINAN: ANTARA TIGA PENDEKATAN KONVENSIONAL DENGAN PENDEKATAN ISLAM
Radieah Mohd Nor
Kertas kerja ini cuba menganalisis tiga pendekatan konvensional yang menjadi pilihan sama ada kepada pengkaji, pembuat dasar serta pihak-pihak yang terlibat dalam agenda menangani masalah kemiskinan. Tiga pendekatan konvensional tersebut ialah Pendekatan Kewangan, Pendekatan Kualiti Hidup dan Pendekatan Penyertaan. Analisis tekstual ke atas kajian serta penulisan yang sedia ada dilakukan untuk meneliti definisi, ukuran dan kaedah yang diketengahkan dalam setiap pendekatan tersebut. Analisis terhadap ketiga-tiga pendekatan tersebut akan dibandingkan dengan definisi, ukuran dan kaedah kemiskinan menurut perspektif Islam. Berdasarkan analisis tersebut, didapati ketiga-tiga pendekatan masih mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kelemahan-kelemahan yang wujud dalam ketiga-tiga pendekatan konvensional tersebut dapat diatasi dengan pendekatan Islam.
MUASAL INSTITUSI WAKAF: SATU PERDEBATAN TEORI
Razali Bin Othman
Kertas kerja ini tertumpu kepada perbincangan mengenai asal usul dan sejarah perkembangan perundangan institusi wakaf. Seribu lima ratus ribu tahun yang lalu, sebelum lahirnya Doctrine Uses and Trusts dalam perundangan English, perundangan Islam telah berkembang pesat dan mengiktiraf wakaf sebagai satu sistem perundangan yang memberi faedah kepada masyarakat. Di bawah perundangan wakaf ini, seseorang itu dibenarkan untuk melupuskan hartanya bagi kegunaan penerima yang ditentukan secara berkekalan. Semenjak itu, wakaf telah diterima oleh masyarakat Islam sebagai sebuah institusi sosio-ekonomi yang sangat penting dan sekaligus telah memainkan perananya sebagai sumber pembiayaan yang sangat hebat sepanjang sejarah ketamadunan Islam. Namun begitu, kesamaan perundangan wakaf dari aspek sejarah dan struktur telah membawa perdebatan di kalangan orientalis Barat bahawa wakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh daripada sistem di bawah kerajaan Byzantine dan Rom iaitu res sacrae, piae causae dan fidei commissum. Perundangan wakaf juga dikaitkan dengan pengaruh English Trust khususnya di bawah sistem Doctrine Uses and Trust yang dibangunkan pada awal abad ke-13 M. Persoalannya, apakah asas pembentukan perundangan wakaf? Apakah dengan melihat kepada persamaan dari aspek sejarah dan struktur, perundangan wakaf dikatakan wujud hasil daripada pengaruh luar seperti yang disebutkan di atas?. Oleh itu, kertas kerja ini akan cuba menjawab persoalan tersebut dengan menumpukan perbincangan kepada tassawurnya iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah Rasulullah saw yang menjadi asas kepada kewujudan perundangan wakaf itu sendiri.
PELAKSANAAN KONSEP ISLAMIK DALAM MEKANISME OPERASI PEMBIAYAAN KREDIT MIKRO AMANAH IKHTIAR MALAYSIA (AIM)
Raziah Binti Md Tahir
Di Malaysia, AIM dikenali sebagai badan yang agak berkesan dalam menawarkan skim pembiayaan kredit mikro, terutamanya dalam membantu golongan wanita miskin di Malaysia. Ia dikatakan mempunyai beberapa keistimewaan. Mekanisme pelaksanaannya pula dikatakan berlandaskan konsep Islamik. Persoalannya apakah keistimewaan tersebut dan sejauhmanakah pelaksanaan konsep yang dikatakan Islamik tersebut? Kertas kerja ini cuba mengenalpasti keistimewaan skim kredit mikro AIM ini dan menganalisis konsep-konsep Islamik yang diaplikasikan dalam mekanisme operasi pembiayaan kredit mikro tersebut. Metodologi kajian adalah merangkumi analisis kandungan (content analysis) berpandukan kepada data dan maklumat yang diperolehi daripada temubual bersama pihak pengurusan AIM, pemerhatian dan dokumen-dokumen yang berkaitan. Hasil kajian diharap dapat menonjolkan keistimewaan dan konsep-konsep Islamik yang terdapat dalam skim kredit mikro AIM agar ianya dapat dipraktikkan oleh institusi lain yang turut menawarkan produk pembiayaan yang sama.
KESETIAAN PEKERJA MUSLIM DALAM PANDANGAN ISLAM
Ridwan Nurdin
Kertas kerja ini tertumpu kepada perbincangan tentang kesetiaan pekerja Muslim dalam pandangan Islam. Fenomena pada perbankan Islam di Indonesia di mana pekerjanya, yang 100 % Muslim, sering berpindah kerja kepada sesama perbankan Islam, akan dijadikan contoh perbincangan. Mengapa hal itu terjadi? Apa prinsip atau ciri-ciri kesetiaan pekerja dalam pandangan Islam? Apa faktor-faktor yang mempengaruhi kesetiaan pekerja dan bagaimana mengatasinya? Kertas kerja ini mencadangkan pendekatan Tauhid agar lebih berkesan dalam meminimumkan permasalahan kesetiaan pekerja. Tauhid merupakan paksi dan asas kepada ajaran Islam. Perlaksanaan konsep Tauhid dalam sebuah organisasi adalah memberi penekanan kepada gelagat/perilaku manusia yaitu pekerja serta majikan. Penekanan kepada gelagat manusia adalah kunci utama kejayaan sesuatu organisasi, bukan semata-mata menekankan aspek struktur dan proses. Ini adalah kerana pekerja yang mengamalkan konsep Islam yang sebenarnya akan menjadikan diri mereka berkualiti menurut Islam dan akhirnya akan menghasilkan satu bentuk kesetiaan kerja yang berkualiti. Penulisan kertas kerja ini akan menggunakan kaedah kajian perpustakaan dengan menggunakan analisis tekstual dan kandungan. Analisis di atas dijangka akan membentuk kriteria-kriteria kesetiaan pekerja dalam suatu organisasi yang sesuai dengan ajaran Islam
PENGURUSAN KONFLIK DI MAJLIS PERWAKILAN PENDUDUK ZON 5 MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Roslan bin Hassan
Kejayaan sesebuah organisasi dalam menangani konflik yang berlaku bergantung kepada gaya pengurusan konflik yang dipilih. Jika dilihat bagaimana seseorang itu mampu mengesan kehadiran konflik di dalam organisasi dan menghadapinya dengan menggunakan gaya pengurusan konflik yang betul, mampu membawa organisasi setapak ke hadapan. Konflik wujud disebabkan oleh nilai, objektif dan keperluan yang selalunya tidak sama. Oleh itu kertas kerja ini akan cuba menganalisis tatacara pengurusan konflik di Majlis Perwakilan Penduduk Zon 5 dari perspektif Islam. Lima gaya pengurusan konflik yang dibangunkan oleh Thomas-Kilmann iaitu bersaing, bertolak ansur, mengelak, berkolaborasi dan akomodasi akan digunakan. Gaya pengurusan konflik yang dipilih ini akan dinilai dan dilihat hubungannya mengikut perspektif Islam, iaitu adakah gaya tersebut menepati cirri-ciri yang dianjurkan oleh Islam. Dapatan analisis yang lepas menunjukkan wujudnya hubungan konstruktif dan destruktif dalam gaya pengurusan konflik terhadap organisasi. Kertas kerja ini ditulis berdasarkan kepada kajian perpustakaan dan kajian lapangan yang telah dilakukan sebelum ini. Analisis teoritis ini juga akan mengupas isu konflik berasaskan perspektif kondtruktif dan destruktif ke atas kesan konflik yang berlaku.
PENDEKATAN PENGURUSAN MODAL INSAN DALAM SISTEM PENGURUSAN KUALITI DARI PERSPEKTIF ISLAM
Shafiza binti Shaari
Kertas ini bertujuan untuk meneliti pendekatan pengurusan modal insan dalam sistem pengurusan kualiti dari perspektif Islam bagi tujuan pensijilan halal Malaysia. Skop kajian ini adalah sistem pengurusan kualiti berdasarkan kepada standard pensijilan halal Malaysia iaitu MS1900:2005. Menerusi kajian teoretikal ini, kaedah keperpustakaan digunakan dalam proses pengumpulan data bagi mengenal pasti aspek pengurusan modal insan yang terkandung dalam elemen-elemen standard MS1900:2005 ini. Kajian teoretikal ini menggunakan analisis tekstual ke atas elemen pengurusan sumber manusia yang merupakan salah satu syarat keperluan pensijilan standard tersebut. Elemen-elemen tersebut diteliti bagi menilai pendekatan yang digunakan dalam sistem pengurusan kualiti dari perspektif Islam ini untuk melahirkan insan berkualiti dalam proses pengeluaran produk halal di Malaysia. Berdasarkan penelitian yang dilakukan, didapati pengurusan modal insan dalam sistem pengurusan kualiti bagi pensijilan halal ini lebih memfokus kepada aspek menguruskan pembangunan modal insan menerusi latihan-latihan kemahiran teknikal berkaitan dengan produk yang dikeluarkan sahaja. Aspek pembangunan kerohanian tidak dijadikan syarat keperluan dalam mengurus dan melahirkan kakitangan yang mempunyai kualiti insani. Sedangkan dalam menghasilkan produk halal, kualiti insan adalah begitu penting.
KAEDAH PENAAKULAN DALAM PENYELIDIKAN LAZIM
SHAHIR AKRAM HASSAN
Kertas kerja ini berhasrat mengenal pasti dan menganalisis kaedah penaakulan yang diguna pakai dalam kaedah penyelidikan lazim. Penaakulan di sini bermaksud peralihan pemikiran melalui beberapa pernyataan yang diandai benar sehinggalah terbentuk satu pernyataan. Ia melibatkan pembuktian dan penghujahan serta akhirnya menentukan mutu sesebuah hasil penyelidikan. Jika kuat cara penaakulan, maka tinggi pulalah mutu hasil penyelidikan. Begitulah juga jika sebaliknya. Kertas kerja ini cuba meneliti dan menganalisis aspek penaakulan yang cukup penting dalam menjana hasil penyelidikan ini. Berdasarkan kepada kajian perpustakaan, perbincangan kertas kerja ini akan ditumpukan kepada dua perkara. Pertamanya ia akan mengenal pasti kaedah-kaedah penaakulan yang terdapat dalam kaedah penyelidikan lazim. Kedua, ia akan menganalisis kaedah-kaedah penaakulan lazim ini secara kritis. Dalam perkara pertama, akan dipamerkan bahawa dalam kaedah penyelidikan lazim, terdapat beberapa kaedah penaakulan seperti penaakulan induktif dan penaakulan deduktif. Dalam perkara kedua pula, akan dirumuskan bahawa kaedah penaakulan lazim mempunyai beberapa kelemahan yang mengakibatkan kelonggaran dalam pembuktian dan penghujahan. Antaranya ia cenderung kepada ralat, tidak kuat untuk dijadikan bukti dan kewahaman yang membahayakan akidah.
TUJUH PRINSIP PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM DALAM MUKHSTASAR IHYA’ ULUMUDDIN
Shahirah binti Said
Mukhtasar Ihya’ Ulumuddin merangkumi banyak aspek yang menyentuh seluruh kehidupan manusia. Ia juga dianggap sebagai ensiklopedia ilmiah yang terangkum di dalamnya bukan sahaja perbahasan mengenai akidah, ibadat, muamalat, munakahat, sifat-sifat terpuji dan keji serta cara-cara mencapai kejayaan, tetapi juga tentang ekonomi, falsafah, pendidikan, sains dan kaunseling. Secara langsung atau tidak, perbincangan dalam Mukhtasar Ihya’ Ulumuddin ini berkait rapat dengan disiplin ilmu Pembangunan Berteraskan Islam (PBI). PBI bukan hanya merangkumi aspek pembangunan fizikal sahaja tetapi juga merangkumi pembangunan spiritual. Kertas kerja ini bertujuan membuat satu analisis awal mengenai sejauh mana terdapat hujah-hujah penting prinsip-prinsip PBI tersebut dalam kitab Mukhtasar Ihya’ Ulumuddin karangan Syeikh Jamaluddin al-Qasimi ini. Analisis ini dilakukan dengan terhadap Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang dibina oleh Muhammad Syukri Salleh. Prinsip-prinsip tersebut merangkumi acuan, pelaku, skala waktu, kerangka, perkaedahan, alat dan matlamat akhir pembangunan berteraskan Islam.
THE DEFINITIVE ISLAMIC ASSET MANAGEMENT: A PRELIMINARY ASSESSMENT
Shereeza binti Mohamed Saniff
This paper aims to provide a preliminary evaluation on whether there exists the ultimate understanding to what is known as Islamic Asset Management. It sets forth to take a serious look from the existing theoretical concepts and understanding on what constitute Islamic Asset Management. In meeting the objective as set forth, this paper is divided into three parts. The first part examines the foundational concept and factor that represent Islamic Asset Management today. Thereafter it looks at the various products and services offered under the branch Islamic Asset Management. Finally the discussions in these two preceding parts culminate to the final part which allows for a specific examination as to the existence of necessary components that define Islamic Asset Management. Library research is mainly used to obtain the various concepts, principles and assessment applied to in this paper with content analysis carried out from the findings in the first two parts of this paper. The findings in this paper show that the understanding and application of Islamic Asset Management is predominantly conventional-based with adaptations made to ensure Shariah-compliant aspects are adhered to. Products and services offered under this branch of Islamic Asset Management are diverse and multi varied. However when it comes identifying the essential components that define Islamic Asset Management, this is found to be wanting. The implications to this finding suggest that a more in-depth study for a more definitive Islamic Asset Management is impending and necessary given the exponential growth of this branch of the Islamic financial system.
DANA ZAKAT DAN AGIHAN KEPADA ASNAF MUALAF NON-MUSLIM DI MALAYSIA
Siti Nuraisyah Hashim
Mualaf boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu mualaf Muslim dan mualaf non-Muslim. Di Malaysia golongan mualaf Muslim sahaja yang layak menerima agihan daripada dana zakat. Persoalannya ialah mengapakah golongan mualaf non-Muslim tidak layak menerima agihan dana zakat sedangkan semasa Rasulullah s.a.w golongan ini layak menerima zakat? Berdasarkan tulisan-tulisan ulama klasik, kertas kerja ini akan cuba mengenalpasti dan menganalisis perbezaan pendapat yang wujud terhadap agihan zakat kepada golongan non-Muslim. Perbincangan kertas ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama akan membincangan ciri-ciri golongan asnaf Muslim dan golongan non-Muslim yang dikategorikan dalam asnaf mualaf. Bahagian kedua pula akan membincangkan perbezaan pendapat dalam kalangan empat mazhab sahaja iaitu mazhab Hambali, Hanafi, Syafi’i dan Maliki. Bahagian ketiga akan membincangkan agihan dana zakat kepada non-Muslim di Malaysia serta fatwa yang berkaitan agihan zakat kepada non-Muslim. Bersesuaian dengan keadaan semasa dan setempat, maka dapatan akan dihujahkan bahawa agihan zakat kepada golongan non-Muslim boleh diperimbangkan semula selaras dengan amalan Rasulullah s.a.w sendiri suatu ketika dulu.
EPISTEMOLOGI DAN TASAWUR KAEDAH PENGURUSAN TAUHIDIK DARI PERSPEKTIF ISLAM: SUATU ANALISIS
Siti Rushada Binti Md Zainudin
Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis Kaedah Pengurusan Tauhidik melalui aspek epistemologi dan tasawur Islam. Kaedah Pengurusan Tauhidik merupakan salah satu daripada kaedah pengurusan yang dirujuk sebagai kaedah pengurusan Islam. Walau bagaimanapun adakah Kaedah Pengurusan Tauhidik yang dirujuk ini benar-benar menepati asas falsafah Islam dalam erti kata sebenar? Untuk tujuan itu, kertas kerja ini akan menganalisis Kaedah Pengurusan Tauhidik dari dua aspek utama falsafah Islam iaitu epistemologi dan tasawur. Ia akan cuba meneliti sejauh manakah epistemologi dan tasawur Kaedah Pengurusan Tauhidik selari dengan epistemologi dan tasawur Islam. Perbincangan ini penting kerana epistemologi dan tasawur merupakan mekanisme yang membentuk dasar dan falsafah bagi sesuatu elemen. Kedua-dua aspek ini juga merupakan pengukur kepada Islam atau tidak Islamnya sesuatu elemen itu. Perbincangan dalam kertas kerja ini adalah hasil daripada kaedah perpustakaan dan analisis kandungan serta analisis teks yang berkaitan. Hasil daripada analisis dalam kertas kerja ini dijangkakan dapat menonjolkan tahap keselarian dan kejituan sebenar Kaedah Pengurusan Tauhidik berdasarkan aspek epistemologi dan tasawur Islam.
PENERAPAN MODAL INSAN DALAM PEMERKASAAN TADBIR URUS BAIK: KAJIAN KES DI UNIT HALAL PULAU PINANG
Siti Syuhadah Mohamad
Malaysia secara amnya berpotensi untuk menerajui industri halal dunia. Tumpuan kepada aspek tadbir urus penting kerana ia merupakan salah satu dimensi untuk pembangunan industri halal. Walau bagaimanapun, kapasiti untuk pembangunan industri halal masih lagi menjadi persoalan. Tinjauan kajian lepas mendapati aspek modal insan yang lemah dalam kalangan pihak tadbir urus dilihat merupakan antara punca yang menjadi kekangan kepada perkembangan industri halal. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan mengaplikasi aspek modal insan untuk memperkasa pihak tadbir urus unit halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Bagi memenuhi objektif ini, kaedah penyelidikan mengaplikasikan data primer iaitu temuduga mendalam dan data sekunder melalui kajian perpustakaan. Kaedah analisis kandungan digunakan untuk menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan aspek modal insan dalam tadbir urus unit halal JHEAIPP masih berada di tahap yang sederhana. Kajian menemukan aspek modal insan terhadap pihak tadbir urus hab halal mempengruhi perkembangan industri halal di Pulau Pinang. Untuk memperkasa industri halal, pemerkasaan terhadap aspek modal insan dalam kalangan pihak tadbir urus perlu diberi keutamaan.
PENGARUH KUALITI PERKHIDMATAN DAN KEPUASAN TERHADAP KESETIAAN PELANGGAN MUSLIM BANK SYARIAH: KEPATUHAN BERAGAMA SEBAGAI MODERATOR
Sunaryo
Jumlah penduduk Indonesia majoriti Islam, namun relialitinya di Indonesia syer pasaran bank syariah hanya 2.78% daripada keseluruhan perbankan di Indonesia. Ini bermakna masih lagi rerndah partisipasi masyarakat Muslim di Indonesia penggunaan produk dan pekhidmatan bank syariah. Persoalannya kenapa perkara ini berlaku, apakah kepatuhan agama tidak memberikan kesan untuk memilih dan mengekalkan kesetiaan masyarakat Muslim terhadap bank syariah? Atau mungkin disebakan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan tidak dapat memberi kepuasan kepada masyarakat Muslim? Oleh demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti; 1) pengaruh kualiti perkhidmatan, kepuasan dan kepatuhan beragama terhadap kesetiaan pelanggan Muslim; 2) kesan kepatuhan beragama terhadap hubungan antara kepuasan dengan kesetiaan pelanggan. Kajian ini dilakukan di Malang dengan jumlah sampel sebanyak 315 responden. Data yang dikutip dianalisis dengan menggunakan pendekatan Strutural Equition Model (SEM) dengan program Smart-Partial Least Square (PLS) dan SPSS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengaruh kualiti perkhidmatan, kepuasan dan kepatuhan beragama terhadap kesetiaan pelanggan ada pengaruh. Kepatuhan beragama merupakan perkara yang menentukan kekuatan dan dapat mengekalkan kesetiaan Muslim. Selain itu pihak bank dan pemerintah harus meningkatkan pemahaman dan penghayatan agama agar dapat meningkatkan kesetiaan mayarakat Muslim.
PARADIGMA PEMIKIRAN AHLI MAJLIS PENASIHAT SYARIAH DI INSTITUSI KEWANGAN ISLAM DI MALAYSIA
Suraya Ismail
Walaupun industri kewangan Islam hanya sebahagian kecil daripada pasaran kewangan global, namun prestasi industri ini menunjukkan kadar perkembangan yang agak signifikan. Salah satu sumbangan ke atas pengiktirafan industri kewangan Islam ini adalah hasil daripada usaha para ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS). Persoalannya, bagaimanakah sebenarnya corak pemikiran ahli-ahli MPS ini? Apakah terdapat persamaan atau perbezaan corak pemikiran ahli-ahli MPS dalam perbankan Islam dan takaful berbanding pasaran modal Islam? Apakah elemen-elemen yang mempengaruhi paradigma pemikiran mereka? Kertas kerja ini cuba mengupas persoalan-persoalan ini berdasarkan sorotan perbincangan pelbagai literatur.
ISLAMIC MANAGEMENT OF POVERTY: THE IMPORTANCE OF ISLAMIC CHARATERISTIC FOR POOR ENTREPRENEURS IN MALAYSIA
Taha Mohd Omar
This paper describes the poverty alleviation programs in the Muslim world, particularly in Penang, Malaysia with respect to the role of poor-entrepreneurship as an alternative-program to eradicate poverty. Currently there are still poor people living in Muslim majority countries and the Malaysian government itself had declared numerous programs to fights against poverty, such as the program of the People’s Defend Corporation (KOBERA) under the Corporative Commission of Malaysia. As a Muslim entrepreneur in Malaysia or any other Muslim country, what are the characteristics and qualities that are needed to promise profitable enterprises? What were the qualities shown by the Prophet Muhammad himself? This paper attempts to answer these questions by firstly, examining the conventional approach in dealing with poverty management. Then, based on the historical accounts of the Prophet Muhammad and the characteristics as well as the qualities he advocated and practised, this paper analyses the role of inner attributes in addressing the problem of poverty. Given the pervasiveness of poverty in Muslim countries, it is also important to study how the Islamic approach brings change to the country’s entrepreneur organizations that could be used in contemporary times to alleviate poverty.
NABI YUSUF A.S. DAN PERANCANGAN KEWANGAN AWAM: ANALISIS PRINSIP-PRINSIP
Teuku Surya Darma
Yusuf a.s. merupakan satu-satunya Nabi yang telah diberikan rahmat oleh Allah berupa kedudukan yang tinggi dan terhormat dalam susunan kerajaan Mesir pada masa itu. Demikianlah kisah yang disebut dalam al-Qur'an ketika Nabi Yusuf a.s. berkata “Jadikanlah aku Bendahari negeri (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan". Hamka dalam tafsirnya menjelaskan bahawa kekayaan utama yang dimiliki oleh negeri adalah terletak pada kemampuan seorang Bendahari negeri dalam mengelola dan menjaga kekayaan negeri itu sendiri. Selaku Bendahari negeri Nabi Yusuf telah menetapkan prinsip-prinsip dasar yang dijadikan pertimbangan dalam menyusun rancangan kewangan awam dalam masa lima belas tahun. Persoalannya ialah, apakah prinsip-prinsip yang digunapakai oleh Nabi Yusuf a.s. ketika menghadapi kemelesetan yang dijangkakan? Kertas kerja ini bertujuan untuk menjawab persoalan tersebut. Kaedah analisis kandungan digunakan ke atas ayat 47 sehingga ayat 49 surah Yusuf berdasarkan tafsiran ulamak-ulamak tafsir terpilih. Dapatan analisis mempamerkan bahawa paling tidak tiga perkara yang menjadi prinsip dalam rancangan kewangan awam yang dilaksanakan oleh Nabi Yusuf a.s.
ANALISIS IKLAN BANK SYARIAH DI INDONESIA: SUATU TINJAUAN KONSEPTUAL DARI PERSPEKTIF ISLAM
Teuku Meldi Kesuma
Kertas kerja ini bertumpu pada perbincangan tentang analisis iklan pada institusi perbankan Islam. Hal ini didasari karena pertumbuhan bank syariah yang cukup pesat di Indonesia awalnya 3 bank syariah pada Januari 2008 menjadi 10 bank syariah pada pertengahan 2010 dengan 1,058 cawangan di seluruh Indonesia. Dengan pertumbuhan yang pesat tersebut, tentu sahaja bank syariah saling berlumba untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan bank serta jenamanya kepada pengguna. Salah satu cara berpromosi adalah mengunakan iklan, yang utama iklan televisyen. Sebagai satu perkhidmatan yang berteraskan Islam sudah tentu iklannya juga harus mengandung nilai dan norma Islam. Namun demikian yang menjadi pertanyaan, apakah iklan bank syariah sudah mengandungi nilai-nilai Islam? Sejauh manakah perbezaannya dengan iklan bank konvensional?. Oleh yang demikian, bagaimanakah pula iklan perbankan Islam yang ideal menurut kalangan pengguna muslim? Kajian ini akan bersumber pada data sekunder dan mengunakan analisis deskriptif dan analisis kandungan. Kertas kerja ini dijangka dapat menjelaskan prinsip konsep dan bentuk periklanan dari perspektif Islam.
ZAKAT SAHAM: TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Wan Anisah Endut
Kebanyakan cendekiawan zakat bersetuju tentang kewajiban zakat terhadap saham sama ada yang dipegang bagi tujuan pelaburan ataupun yang diniagakan di pasaran saham. Namun persoalannya, pihak manakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Adakah pemegang saham atau penerbit saham atau kedua-duanya? Apakah tujuan pemilikan saham juga mempengaruhi penentuan pihak yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Berdasarkan analisis kandungan, kertas kerja ini akan cuba menjawab persoalan-persoalan tersebut dengan tumpuan kepada pandangan daripada cendekiawan-cendekiawan kontemporari yang pernah menulis tentang isu ini.
INDEKS PEMBANGUNAN: SATU PENILAIAN SEMULA
Wan Norhaniza Wan Hasan
Pembangunan di dunia kebanyakannya diukur dengan menggunakan indeks pembangunan yang dihasilkan oleh badan berautoriti seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Walaupun begitu, adakah indeks-indeks ini mencukupi dan lengkap untuk digunakan secara sama rata dalam mengukur pembangunan di semua negara? Kertas kerja ini berhasrat untuk menilai semula indeks pembangunan sedia ada berdasarkan kepada penulisan-penulisan akademik dan laporan-laporan rasmi. Bagi memenuhi matlamat ini, kertas kerja ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, menganalisis sejarah dan perkembangan indeks pembangunan. Kedua, kritik terhadap indeks pembangunan yang sedia ada. Perbincangan dalam kertas kerja ini akan membawa kepada cadangan penghasilan sebuah indeks yang lebih lengkap, yang berdasarkan kepada ajaran Islam.